Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perak dan perbincangan kerjasama pada 31 Mac 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat JAPEN Negeri Perak. Delegasi IKDAR telah diketuai oleh YBrs. Dr. Muhammad Faizal Bin Tahiruddin, Rektor IKDAR, Puan Siti Norlina Bte. Samad, Pengarah IKDAR Cawangan Taiping serta pegawai IKDAR yang lain. Delegasi ini telah disambut baik oleh YBrs. Encik Azrul Bin Hasan, Pengarah JAPEN Negeri Perak, Encik Mohd Fauzi Bin Rosli, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komuniti dan Pembangunan Masyarakat dan Puan Nornadira Binti Muhaizan, Penolong Pengarah Cawangan Media Siber.

Perbincangan ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah JAPEN Perak dan diteruskan dengan pembentangan daripada Rektor IKDAR berkaitan pelaksanaan program Pembangunan dan Kesedaran Pendidikan Tahfiz di peringkat negeri Perak. Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak berharap agar jalinan kerjasama strategik yang dibincangkan dapat direalisasikan dalam bentuk program-program kolaborasi yang memberi manfaat kepada institusi pendidikan tahfiz, masyarakat serta golongan pelajar. Inisiatif ini juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan model pendidikan Islam bersepadu yang menggabungkan elemen tahfiz dan kemahiran teknikal. Secara tidak langsung, usaha ini diharapkan dapat melahirkan generasi profesional huffaz yang berdaya saing, berkemahiran tinggi serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah dan negara pada masa hadapan.
/





