IKDAR Luaskan Jaringan Kerjasama Antarabangsa Menerusi MoU Bersama Universitas Bumi Persada, Aceh, Indonesia

Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) terus memperkukuh hubungan akademik di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Bumi Persada, Lhokseumawe, Aceh, Indonesia pada 27 Julai 2026.

Majlis dimulakan dengan sesi bengkel dan perbincangan dua hala yang memberi fokus kepada peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi sebelum diteruskan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman sebagai simbol komitmen dalam memperkasakan bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Delegasi IKDAR diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Faizal bin Tahiruddin, Rektor IKDAR, bersama barisan kepimpinan institusi yang terdiri daripada:

YBhg. Prof. Madya Dato’ Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah – Pengerusi Lembaga Pengarah Institusi IKDAR

Tuan Syed Mohamad bin Syed Zakaria – Penasihat Undang-Undang IKDAR

Dr. Ahmad Muzammil bin Mohamad Shapawi – Ketua Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa IKDAR

Puan Siti Norlina binti Samad – Pengarah IKDAR Cawangan Taiping

Kerjasama yang dijalin ini dijangka membuka lebih banyak peluang dalam bidang pertukaran kepakaran akademik, pembangunan kurikulum, penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pelaksanaan program-program yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan pendidikan tinggi yang lebih cemerlang, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.