Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadhan 1446H Peringkat Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan

Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) telah mengadakan Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadhan 1446H peringkat IKDAR Tahun 2025 pada 27 Februari 2025 bertempat di Dewan IKDAR. Pelancaran majlis ini telah dilancarkan oleh YBrs. Dr. Muhammad Faizal Bin Tahiruddin, Rektor IKDAR diiringi Puan Siti Norlina Binti Samad, Pengurus Pusat Bertauliah.

Majlis ini turut diselitkan dengan ceramah bertajuk “Menggapai Maghfirah Allah di Bulan Keampunan” yang telah disampaikan oleh Ustaz Raja Mohamad Nur Islahul Khair Bin Raja Aspan, Guru Agama Dakwah (Bahagian Dakwah), Jabatan Agama Islam Negeri Perak.

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, dan peluang untuk memperbaharui amal ibadah. Majlis ini adalah langkah pertama dalam usaha IKDAR untuk menyambut bulan suci ini dengan hati yang bersih dan penuh kesyukuran.

Mari kita bersama-sama memanfaatkan bulan Ramadhan yang akan tiba dengan memperbanyakkan ibadah, memperbaiki diri, dan meningkatkan amal jariah. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menjalani Ramadhan dengan penuh penghayatan, sabar, dan tawakal kepada Allah.