Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) Tahun 2025 pada 28 Julai 2025 bertempat di Dewan IKDAR. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Faizal Bin Tahiruddin, Rektor IKDAR. Turut hadir bersama Puan Siti Norlina Binti Samad, Pengarah IKDAR Cawangan Taiping.

Majlis diserikan dengan pelbagai pengisian penuh patriotik seperti nyanyian lagu patriotik, tayangan montaj serta persembahan istimewa daripada pelajar-pelajar IKDAR yang menampilkan semangat juang dan kecintaan terhadap negara. Pelancaran rasmi ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi membawa mesej mendalam bahawa warga IKDAR sentiasa mendukung nilai-nilai perpaduan, hormat-menghormati, dan semangat kebangsaan dalam mendepani cabaran era globalisasi.
Dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, IKDAR turut menyahut seruan untuk terus melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah memiliki jati diri kebangsaan dan nilai kemanusiaan sejagat. Semoga bulan kemerdekaan ini menjadi ruang untuk kita semua mengenang jasa para pejuang tanah air, menyubur semangat patriotik, dan memperteguh tekad untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara tercinta.






