Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Daerah Larut Matang dan Selama Tahun 2025

Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama telah menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Daerah 2025 pada 13 September 2025 bertempat di Dataran Warisan, Taiping dengan penuh meriah dan semangat. Majlis ini telah disempurnakan dengan perasmian oleh Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Taiping. Kehadiran beliau bersama pimpinan masyarakat, agensi kerajaan, pertubuhan setempat serta rakyat pelbagai lapisan telah menyemarakkan lagi suasana sambutan pada pagi yang penuh bersejarah ini.

Turut sama hadir memberi sokongan, YBrs. Dr. Muhammad Faizal Bin Tahiruddin, Rektor Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR). Sambutan ini dihiasi dengan perbarisan dan perarakan kontinjen daripada pelbagai jabatan kerajaan, badan beruniform, institusi pendidikan, pertubuhan belia serta komuniti setempat. Buat pertama kalinya, IKDAR turut menyertai perbarisan dengan menghantar kontinjen seramai 33 orang pelajar yang melangkah penuh disiplin, membawa panji IKDAR dengan penuh semangat. Penyertaan ini melambangkan komitmen generasi huffaz teknorat untuk terus bersama masyarakat dalam mengisi kemerdekaan dengan ilmu, kepakaran dan jati diri yang kukuh. Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sekadar peringatan kepada jasa pejuang terdahulu yang telah mengorbankan keringat dan jiwa demi tanah air, tetapi juga medan untuk memperkukuhkan perpaduan, kesepaduan sosial serta semangat. Tahniah diucapkan kepada semua peserta perbarisan mewakili kontinjen IKDAR.