Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) telah mengadakan Program Sukan Riadah Kakitangan dan Pelajar sebagai salah satu usaha untuk membudayakan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga institusi.
Dalam program ini, Unit Hal Ehwal Pelajar turut melaksanakan sesi undian pemilihan rumah sukan dalam kalangan pelajar sebagai persediaan ke arah penganjuran aktiviti sukan yang lebih tersusun dan kompetitif. Pemilihan rumah sukan ini bertujuan untuk menyemai semangat berpasukan, meningkatkan rasa kebersamaan serta menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Program diteruskan dengan pertandingan badminton antara rumah sukan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan kompetitif. Para pelajar mempamerkan semangat juang yang tinggi, kerjasama yang mantap serta kesungguhan dalam merebut kemenangan bagi rumah sukan masing-masing. Pertandingan bagi kategori siswa telah diadakan di Gelanggang Wintel, manakala kategori siswi berlangsung di Gelanggang Kawasaki.
Penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja menjadi medium riadah yang sihat, malah berupaya mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan dan pelajar serta mewujudkan persekitaran kampus yang lebih harmoni, aktif dan positif. Program ini juga menjadi platform yang baik untuk membentuk sahsiah pelajar melalui penerapan nilai-nilai disiplin, kerjasama, toleransi dan semangat kesukanan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen, semangat berpasukan dan kesungguhan yang tinggi sepanjang program berlangsung. Semoga aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi melahirkan warga IKDAR yang cergas, berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik, kemahiran serta pembangunan sahsiah.





